Tiada kompromi pelajar samseng

Akhbar: Berita Minggu
Tarikh Siaran: 24 Ogos 2003
Hari: Ahad
Oleh: Faiza Zainuddin


ALOR STAR: Kementerian Pendidikan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelajar yang didapati berkelakuan samseng dan akan menyingkirkan mereka dari mana-mana sekolah, berkuat kuasa serta merta.
Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, berkata tindakan tegas itu perlu diambil walaupun membabitkan pelajar cerdik di sekolah berasrama penuh.
Katanya, ini bagi membendung perlakuan di luar batas norma pelajar daripada menjadi semakin serius dan menular ke sekolah lain.
Oleh itu, katanya, pelajar yang cenderung berkelakuan sedemikian perlu memikirkan terlebih dahulu implikasi tindakan yang bakal diterima sebelum melakukan perbuatan berkenaan.
“Saya minta maaf kepada ibu bapa dan anak ini (kerana mengambil tindakan itu), tetapi terpaksa dilakukan kerana menjaga kepentingan majoriti yang lebih penting daripada kepentingan kelompok kecil lain yang menunjukkan tabiat melampau di luar batasan .
“Saya harap tindakan itu menjadikan keadaam di sekolah lebih reda kerana kementerian risau dengan kekerapan pergaduhan ini yang melibatkan pelajar secara berkumpulan, teratur dan terancang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penyingkiran 20 pelajar tingkatan lima Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, yang didapati cuba menghidupkan semula kumpulan ala samseng, High Council bagi membuli dan menekan pelajar junior.
Pelajar itu dikenakan tindakan selepas melanggar janji dan sumpah yang dilafazkan di hadapan pelajar lain setahun lalu, untuk tidak meneruskan kegiatan kumpulan itu.
Musa berkata demikian selepas majlis Perhimpunan Patriotik Pemimpin Pelajar Sekolah peringkat Kebangsaan Kali ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat.Perhimpunan itu disertai oleh lebih 1000 pemimpin pelajar dari seluruh Negara.
Sementara itu, Musa berkata pengetua dan guru besar di sekolah-sekolah seluruh negara tidak perlu takut untuk melaporkan dan mengambil tindakan tegas terhadap pelajar yang didapati berkelakuan samseng, walaupun terpaksa berhadapan dengan ibu bapa yang tidak senang dangan tindakan berkenaan.
Ditanya jaminan kepada guru terbabit akibat ancaman pihak luar, Musa berkata sebagai pihak yang bertanggungjawab, risiko itu perlu mereka hadapi.
“Kita tidak perlu ada system melindungi bagi guru sebelum mereka bertindak terhadap pelajar.
“Sistem itu ada sekiranya dibawa ke mahkamah, dan kerajaan akan melindungi mereka dan jika mereka diancam orang luar, polis akan bertindak.
“Oleh itu, perkara ini tidak akan menjadi halangan kepada sesiapa juga untuk mengambil tindakan tegas dan sekiranya kita takut ambil ambil tindakan, sistem pendidikan akan lumpuh,” katanya.
Sementara itu, sebanyak tiga acara berjaya dimasukkan dalam Malaysia Book of Records iaitu Jalur Gemilang terpanjang (13.8 kilometer); bilangan kad ucapan terima kasih kepada pemimpin negara yang terbayak (201,225 keping) dan persembahan integerasi yang teramai membabitkan 2,010 pelajar.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "Tiada kompromi pelajar samseng"