Pengetua MCKK nafi pelajar guna parang ugut warden

Akhbar: Berita Harian
Tarikh Siaran: 30 ogos 2003
Hari: Sabtu

Oleh: Rashid Rahaman dan Mohd Hamizar Abd Hamid


IPOH: Sekumpulan pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) termasuk dua bersenjatakan parang, dikatakan mengejar dan mengugut seorang warden awal pagi Isnin lalu tetapi ia dinafikan oleh pengetua sekolah berasrama penuh terkemuka itu.
Pengetua MCKK, Alimuddin Mohd Dom, yang dihubungi Berita Harian di Kuala Lumpur berkata: “Tiada kejadian seumpama itu, pada masa ini atau masa lalu. Memang tidak berlaku apa-apa di sini(MCKK). Kalau hendak maklumat lanjut rujuk Kementerian Pendidikan.”
Pengarah Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan, Datuk Kusaini Hasbullah ketika ditemui di Kuala Lumpur bagaimanapun berkata, kejadian itu sedang disiasat sebelum diumumkan.
Ketua Polis Kuala Kangsar, Superitendan Zainuddin Zainal, berkata polis tidak menerima sebarang aduan berhubung kejadian itu setakat ini.
Sumber berkata, dua pelajar yang terbabit dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu sudah digantung.
Warden itu dikatakan memarahi tujuh pelajar terbabit kerana keluar bilik tanpa kebenaran dan menceroboh asrama pelajar junior ketika ditangkap.
Difahamkan, dua daripada tujuh pelajar terbabit cuba melawan dan warden mengambil tindakan menyebat mereka.
Selepas kejadian itu, dua pelajar terbabit dikatakan mengambil parang dan mengejar warden berkenaan tetapi mereka dihalang oleh pelajar lain dan pengawal keselamatan MCKK.
Berikutan itu, pengurusan MCKK mengambil tindakan menggantung mereka sementara persekolahan mereka sehingga siasatan selesai.
Kejadian di MCKK itu adalah terbaru membabitkan pelajar sekolah. Sebelum ini, 20 pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman di Ipoh, Perak, dibuang sekolah kerana cuba menghidupkan kumpulan ala samseng dan seorang pelajar Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Johor, parah dipukul rakan.
Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Adnan Ibrahim, berkata beliau tidak mendapat sebarang makulmat mengenai kejadian itu, tetapi berjanji akan mengadakan sidang akhbar di Ipoh hari ini jika menerima pengesahan. –thorrinre-

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "Pengetua MCKK nafi pelajar guna parang ugut warden"