Jabatan Pendidikan sahkan MCKK singkir 8 pelajar
Akhbar: Utusan Malaysia
Tarikh Siaran: 30 Ogos 2003 
Hari: Sabtu
Oleh: Hashnan Abdullah
IPOH 29 OGOS – Jabatan Pendidikan Negeri Perak hari ini mengesahkan lapan pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar disingkirkan dari sekolah itu selain dua bilah parang panjang dirampas daripada pelajar yang terbabait dalam kejadian mencabar tiga guru, Isnin lalu.
	Pengarahnya, Datuk Adnan Ibrahim berkata, tindakan penyingkiran itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan dan ibu bapa pelajar terbabit. Bagaimanapun, katanya, laporan yang diserahkan oleh MCKK itu tidak menyebut dari mana dua bilah parang panjang terbabit diperoleh dari dua pelajar tersebut.
	Beliau tidak menolak kemungkinan senjata itu didapati dari bilik tukang kebun, bilik pertukangan tangan, kantin sekolah, atau bilik persatuan beruniform. 
	“Laporan itu menolak kemungkinan wujud kejadian kejar mengejar antara pelajar dengan warden itu dan mereka tidak menemui pisau Rambo, batang besi dan kayu. 
	“Malah, hanya lapan orang pelajar yang terbabit dalam kejadian itu dan bukan 12 seperti yang dilaporkan,” kata Adnan pada sidang akhbar di pejabatnya.
	Beliau turut membacakan laporan ringkas daripada Pengetua MCKK berhubung insiden tersebut. 
	Adnan berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang menyebut enam pelajar MCKK disingkir serta merta, 12 pelajar diletakkan di bawah pemerhatian serius manakala dua lagi masih disoal siasat setelah terbabit menyerang tiga guru yang juga merupakan warden asrama dengan parang panjang pada awal Isnin lalu. 
	Utusan Malaysia difahamkan, warden terbabit sebelum kejadian itu telah mendapat tahu terdapat sekumpulan pelajar tingkatan lima yang ingin melakukan sesuatu di blok asrama tingkatan dua.
	Bagaimanapun, ketika warden cuba menahan mereka, hanya dua pelajar yang tidak melarikan diri tetapi diarahkan pulang ke bilik masing-masing. 
	Ketika ketiga-tiga warden terbabit melintas di asrama pelajar berkenaan, mereka terdengar suara sekumpulan pelajar yang mencabar mereka dan warden kemudiannya bertindak menghampiri kumpulan pelajar terbabit. 
	Setelah itu, warden berkenaan mendapati dua daripada mereka memegang dua bilah parang panjang dan sejurus selepas itu bertindak memanggil pengawal keselamatan dan polis untuk mengawal keadaan. 
	Adnan memberitahu, Jabatan Pendidikan Perak menyokog sepenuhnya tindakan pengetua MCKK membuang pelajar tersebut ekoran masalah disiplin yang serius itu. 
	Melah, beliau menambah, pihak jabatan turut menyeru sepenuhnya pihak pengurusan sekolah supaya bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam menangani masalah disiplin pelajar yang semakin melampau sekarang.
	“Saya harap pengetua dan PIBG sekolah di negeri ini tidak terlalu berkompromi dengan pelajar mereka yang bertindak melampaui batas,” katanya.








0 Response to "Jabatan Pendidikan sahkan MCKK singkir 8 pelajar"
Post a Comment