Membendung budaya samseng berleluasa
Akhbar: Berita Harian 
Tarikh Siaran:  30 Ogos 2003
Hari: Sabtu
Oleh: Pengarang Akhbar Berita Harian
APAKAH niat dua orang pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), yang menunjukkan parang kepada warden asrama dalam insiden 18 Ogos lalu? Mungkin mahu menggertak sahaja tetapi perbuatan itu tetap salah dan menyeramkan sedang episod pelajar tingkatan lima disingkirkan berterusan. Dua pelajar MCKK itu adalah daripada sekumpulan lapan pelajar MCKK yang disingkir kerana masalah disiplin termasuk merokok, ponteng sekolah dan bergaduh. Mereka bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan warden yang merotan rakan mereka setelah didapati bersalah menceroboh asrama pelajar junior pada tengah malam. Sebelum ini, 20 pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, turut disingkirkan kerana terbabit dengan kegiatan ala-samseng ‘High Council’ yang membuli dan mendera pelajar junior. Pada 12 Ogos pula kita dikejutkan dengan tindakan pelajar senior Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Johor yang membelasah Mohd Hafizi Jumari, hingga mengalami kecederaan parah.
	Sebenarnya, perbuatan mendera pelajar muda atau baru, terutama di kampus universiti sudah lama berkubur. Walau apapun rasionalnya, perbuatan memaksa pelajar junior menggilap kasut, membeli makanan, mengalihkan tempat tidur dari satu sudut ke sudut yang lain, meyapu ubat igi pada muka ketika rakan nyenyak tidur, dan diarah berlari tengah malam hingga dipaksa berendam di dalam kolam najis lembu, adalah teknik ‘ragging’ pada zaman 60-an hingga 80-an yang tidak lagi kedengaran hari ini. Namun, nampaknya kini kegiatan itu bertukar kepada tindakan membelasah ala semseng hingga mencederakan mangsa. Ini adalah selain masalah disiplin biasa membabitkan golongan pelajar dari kalangan keluarga berada.
	Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menekankan jika pelajar terbabit tidak berminat menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran, mereka patut disingkir. Ini kerana apabila mereka berkumpul, mereka menjadi berani dan mengganggu pelajar lain. Dr Mahathir berpendapat punca meningkatnya kegiatan gangsterisme di sekolah adalah pengaruh buruk tayangan terlalu banyak filem asing yang memaparkan adegan keganasan dan seks. Sebagai langkah awal, Kementerian Pendidikan memperkenalkan laporan adab pelajar bagi memberi peluang ibu bapa menilai dan mengawasi kelakuan anak mereka.
	Apa yang berlaku di MCKK—sekolah elit ditubuhkan pada 1905 yang terkenal sebagai pusat kecemerlangan dan melahirkan ramai pemimpin negara, tokoh masyarakat dan ahli korporat – amat memalukan. Dengan system jaringan dan pekerjaan hampir terjamin bagi lepasannya, pelajar sepatutnya mengekalkan tahap disiplin yang tinggi. Wajarlah kumpulan yang mengaibkan MCKK dikenakan hukuman setimpal.








0 Response to "Membendung budaya samseng berleluasa"
Post a Comment