‘Budaya samseng perkara biasa’
Akhbar: Berita Harian
Tarikh Siaran:  -tidak dapat dikenalpasti- 
Hari:  -tidak dapat dikenalpasti-
Oleh: Sariha Mohd Ali
KUANTAN: Kelakuan negatif pelajar sekolah seperti dilaporkan sejak kebelakangan ini tidak bermakna budaya semseng sudah menular di sekolah, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat. 
	Sebaliknya, beliau berkata, gejala berkenaan adalah perkara biasa yang menjadi sebahagian masalah remaja yang sedang membesar. 
	Sehubungan itu, beliau meminta pihak tertentu, termasuk guru membantu membimbing pelajar supaya tidak mudah melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang. 
	Katanya, sekolah masih lagi menjadi tempat selamat untuk pelajar dan ibu bapa tidak perlu cemas dengan perkembangan terkini yang melaporkan banyak salah laku pelajar. 
Beberapa kes membabitkan kelakuan negatif pelajar ketika di sekolah seperti yang dilaporkan media adalah kes tersing dan ia tidak melibatkan sebarang ancaman kepada pelajar lain. 
“Kita tidak nafikan ke seumpama itu berlaku, tapi umumnya keadaan persekolahan di negara kita masih terkawal dan anak masih belajar selesa dan selamat di sekolah. 
“Jadi, jangan rasa cemas dan kementerian sentiasa berusaha mewujudkan suasana tenang supaya pelajar dapat mengikuti pelajaran dengan baik.
“Sebenarnya, proses persekolahan memerlukan kerjasama banyak pihak, termasuk ibu bapa, masyarakat, dan media massa,” katanya selepas mesyuarat Ketua Perkhidmatan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Samsuddin Osman, di sini petang kelmarin. 
Abdul Rafie berkata, semua pihak termasuk guru dan anggota masyarakatperlu mempunyai perasaan ‘sepunya’ dengan meletakkan tanggungjawab mendidik pelajar di bahu semua pihak, bukannya sekolah sahaja. 
Katanya, apabila perasaan seumpama itu wujud, hubungan lebih mesra antara sekolah, masyarakat dan keluarga dapat dibentuk.
“Sebenarnya konsep pemuafakatan keluarga, masyarakat dan sekolah masih baru di Malaysia, tapi sudah masanya untuk kita memeperluaskan pelaksanaannya. 
“Biasanya, kejayaan cemerlang pelajar dan sekolah dihasilkan apabila wujud kerjasama dan persefahaman baik antara guru, pelajar, dan ibu bapa,”katanya.
Mengulas kes 14 pelajar perempuan Sekolah Menengah Seri Puteri Buntong, Ipoh cedera ditampar guru selepas guru itu gagal mengenal pasti pelajar yang mengeluarkan perkataan ‘podah’ yang bermaksud ‘berambus’ pada 20 Ogos lalu, Abdul Rafie berkata:
“Saya sudah meminta kerjasama sekolah itu bagi mengatur perjumpaan dengan ibu bapa bagi membincangkan kes berkenaan. 
“Kita mahu hubungan baik ibu bapa dan guru tidak terjejas akibat kes berkenaan,” katanya.








0 Response to "‘Budaya samseng perkara biasa’"
Post a Comment