Pengetua MCKK nafi pelajar guna parang ugut warden

Akhbar: Berita Harian
Tarikh Siaran: 30 ogos 2003
Hari: Sabtu

Oleh: Rashid Rahaman dan Mohd Hamizar Abd Hamid


IPOH: Sekumpulan pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) termasuk dua bersenjatakan parang, dikatakan mengejar dan mengugut seorang warden awal pagi Isnin lalu tetapi ia dinafikan oleh pengetua sekolah berasrama penuh terkemuka itu.
Pengetua MCKK, Alimuddin Mohd Dom, yang dihubungi Berita Harian di Kuala Lumpur berkata: “Tiada kejadian seumpama itu, pada masa ini atau masa lalu. Memang tidak berlaku apa-apa di sini(MCKK). Kalau hendak maklumat lanjut rujuk Kementerian Pendidikan.”
Pengarah Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan, Datuk Kusaini Hasbullah ketika ditemui di Kuala Lumpur bagaimanapun berkata, kejadian itu sedang disiasat sebelum diumumkan.
Ketua Polis Kuala Kangsar, Superitendan Zainuddin Zainal, berkata polis tidak menerima sebarang aduan berhubung kejadian itu setakat ini.
Sumber berkata, dua pelajar yang terbabit dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu sudah digantung.
Warden itu dikatakan memarahi tujuh pelajar terbabit kerana keluar bilik tanpa kebenaran dan menceroboh asrama pelajar junior ketika ditangkap.
Difahamkan, dua daripada tujuh pelajar terbabit cuba melawan dan warden mengambil tindakan menyebat mereka.
Selepas kejadian itu, dua pelajar terbabit dikatakan mengambil parang dan mengejar warden berkenaan tetapi mereka dihalang oleh pelajar lain dan pengawal keselamatan MCKK.
Berikutan itu, pengurusan MCKK mengambil tindakan menggantung mereka sementara persekolahan mereka sehingga siasatan selesai.
Kejadian di MCKK itu adalah terbaru membabitkan pelajar sekolah. Sebelum ini, 20 pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman di Ipoh, Perak, dibuang sekolah kerana cuba menghidupkan kumpulan ala samseng dan seorang pelajar Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Johor, parah dipukul rakan.
Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Adnan Ibrahim, berkata beliau tidak mendapat sebarang makulmat mengenai kejadian itu, tetapi berjanji akan mengadakan sidang akhbar di Ipoh hari ini jika menerima pengesahan. –thorrinre-

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Jabatan Pendidikan sahkan MCKK singkir 8 pelajar

Akhbar: Utusan Malaysia
Tarikh Siaran: 30 Ogos 2003
Hari: Sabtu
Oleh: Hashnan Abdullah

IPOH 29 OGOS – Jabatan Pendidikan Negeri Perak hari ini mengesahkan lapan pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar disingkirkan dari sekolah itu selain dua bilah parang panjang dirampas daripada pelajar yang terbabait dalam kejadian mencabar tiga guru, Isnin lalu.
Pengarahnya, Datuk Adnan Ibrahim berkata, tindakan penyingkiran itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Pendidikan dan ibu bapa pelajar terbabit. Bagaimanapun, katanya, laporan yang diserahkan oleh MCKK itu tidak menyebut dari mana dua bilah parang panjang terbabit diperoleh dari dua pelajar tersebut.
Beliau tidak menolak kemungkinan senjata itu didapati dari bilik tukang kebun, bilik pertukangan tangan, kantin sekolah, atau bilik persatuan beruniform.
“Laporan itu menolak kemungkinan wujud kejadian kejar mengejar antara pelajar dengan warden itu dan mereka tidak menemui pisau Rambo, batang besi dan kayu.
“Malah, hanya lapan orang pelajar yang terbabit dalam kejadian itu dan bukan 12 seperti yang dilaporkan,” kata Adnan pada sidang akhbar di pejabatnya.
Beliau turut membacakan laporan ringkas daripada Pengetua MCKK berhubung insiden tersebut.
Adnan berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang menyebut enam pelajar MCKK disingkir serta merta, 12 pelajar diletakkan di bawah pemerhatian serius manakala dua lagi masih disoal siasat setelah terbabit menyerang tiga guru yang juga merupakan warden asrama dengan parang panjang pada awal Isnin lalu.
Utusan Malaysia difahamkan, warden terbabit sebelum kejadian itu telah mendapat tahu terdapat sekumpulan pelajar tingkatan lima yang ingin melakukan sesuatu di blok asrama tingkatan dua.
Bagaimanapun, ketika warden cuba menahan mereka, hanya dua pelajar yang tidak melarikan diri tetapi diarahkan pulang ke bilik masing-masing.
Ketika ketiga-tiga warden terbabit melintas di asrama pelajar berkenaan, mereka terdengar suara sekumpulan pelajar yang mencabar mereka dan warden kemudiannya bertindak menghampiri kumpulan pelajar terbabit.
Setelah itu, warden berkenaan mendapati dua daripada mereka memegang dua bilah parang panjang dan sejurus selepas itu bertindak memanggil pengawal keselamatan dan polis untuk mengawal keadaan.
Adnan memberitahu, Jabatan Pendidikan Perak menyokog sepenuhnya tindakan pengetua MCKK membuang pelajar tersebut ekoran masalah disiplin yang serius itu.
Melah, beliau menambah, pihak jabatan turut menyeru sepenuhnya pihak pengurusan sekolah supaya bekerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam menangani masalah disiplin pelajar yang semakin melampau sekarang.
“Saya harap pengetua dan PIBG sekolah di negeri ini tidak terlalu berkompromi dengan pelajar mereka yang bertindak melampaui batas,” katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Tiada kompromi pelajar samseng

Akhbar: Berita Minggu
Tarikh Siaran: 24 Ogos 2003
Hari: Ahad
Oleh: Faiza Zainuddin


ALOR STAR: Kementerian Pendidikan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pelajar yang didapati berkelakuan samseng dan akan menyingkirkan mereka dari mana-mana sekolah, berkuat kuasa serta merta.
Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad, berkata tindakan tegas itu perlu diambil walaupun membabitkan pelajar cerdik di sekolah berasrama penuh.
Katanya, ini bagi membendung perlakuan di luar batas norma pelajar daripada menjadi semakin serius dan menular ke sekolah lain.
Oleh itu, katanya, pelajar yang cenderung berkelakuan sedemikian perlu memikirkan terlebih dahulu implikasi tindakan yang bakal diterima sebelum melakukan perbuatan berkenaan.
“Saya minta maaf kepada ibu bapa dan anak ini (kerana mengambil tindakan itu), tetapi terpaksa dilakukan kerana menjaga kepentingan majoriti yang lebih penting daripada kepentingan kelompok kecil lain yang menunjukkan tabiat melampau di luar batasan .
“Saya harap tindakan itu menjadikan keadaam di sekolah lebih reda kerana kementerian risau dengan kekerapan pergaduhan ini yang melibatkan pelajar secara berkumpulan, teratur dan terancang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penyingkiran 20 pelajar tingkatan lima Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh, yang didapati cuba menghidupkan semula kumpulan ala samseng, High Council bagi membuli dan menekan pelajar junior.
Pelajar itu dikenakan tindakan selepas melanggar janji dan sumpah yang dilafazkan di hadapan pelajar lain setahun lalu, untuk tidak meneruskan kegiatan kumpulan itu.
Musa berkata demikian selepas majlis Perhimpunan Patriotik Pemimpin Pelajar Sekolah peringkat Kebangsaan Kali ke-3 di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat.Perhimpunan itu disertai oleh lebih 1000 pemimpin pelajar dari seluruh Negara.
Sementara itu, Musa berkata pengetua dan guru besar di sekolah-sekolah seluruh negara tidak perlu takut untuk melaporkan dan mengambil tindakan tegas terhadap pelajar yang didapati berkelakuan samseng, walaupun terpaksa berhadapan dengan ibu bapa yang tidak senang dangan tindakan berkenaan.
Ditanya jaminan kepada guru terbabit akibat ancaman pihak luar, Musa berkata sebagai pihak yang bertanggungjawab, risiko itu perlu mereka hadapi.
“Kita tidak perlu ada system melindungi bagi guru sebelum mereka bertindak terhadap pelajar.
“Sistem itu ada sekiranya dibawa ke mahkamah, dan kerajaan akan melindungi mereka dan jika mereka diancam orang luar, polis akan bertindak.
“Oleh itu, perkara ini tidak akan menjadi halangan kepada sesiapa juga untuk mengambil tindakan tegas dan sekiranya kita takut ambil ambil tindakan, sistem pendidikan akan lumpuh,” katanya.
Sementara itu, sebanyak tiga acara berjaya dimasukkan dalam Malaysia Book of Records iaitu Jalur Gemilang terpanjang (13.8 kilometer); bilangan kad ucapan terima kasih kepada pemimpin negara yang terbayak (201,225 keping) dan persembahan integerasi yang teramai membabitkan 2,010 pelajar.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Membendung budaya samseng berleluasa

Akhbar: Berita Harian
Tarikh Siaran: 30 Ogos 2003
Hari: Sabtu
Oleh: Pengarang Akhbar Berita Harian


APAKAH niat dua orang pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), yang menunjukkan parang kepada warden asrama dalam insiden 18 Ogos lalu? Mungkin mahu menggertak sahaja tetapi perbuatan itu tetap salah dan menyeramkan sedang episod pelajar tingkatan lima disingkirkan berterusan. Dua pelajar MCKK itu adalah daripada sekumpulan lapan pelajar MCKK yang disingkir kerana masalah disiplin termasuk merokok, ponteng sekolah dan bergaduh. Mereka bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan warden yang merotan rakan mereka setelah didapati bersalah menceroboh asrama pelajar junior pada tengah malam. Sebelum ini, 20 pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh, turut disingkirkan kerana terbabit dengan kegiatan ala-samseng ‘High Council’ yang membuli dan mendera pelajar junior. Pada 12 Ogos pula kita dikejutkan dengan tindakan pelajar senior Sekolah Menengah Teknik Batu Pahat, Johor yang membelasah Mohd Hafizi Jumari, hingga mengalami kecederaan parah.
Sebenarnya, perbuatan mendera pelajar muda atau baru, terutama di kampus universiti sudah lama berkubur. Walau apapun rasionalnya, perbuatan memaksa pelajar junior menggilap kasut, membeli makanan, mengalihkan tempat tidur dari satu sudut ke sudut yang lain, meyapu ubat igi pada muka ketika rakan nyenyak tidur, dan diarah berlari tengah malam hingga dipaksa berendam di dalam kolam najis lembu, adalah teknik ‘ragging’ pada zaman 60-an hingga 80-an yang tidak lagi kedengaran hari ini. Namun, nampaknya kini kegiatan itu bertukar kepada tindakan membelasah ala semseng hingga mencederakan mangsa. Ini adalah selain masalah disiplin biasa membabitkan golongan pelajar dari kalangan keluarga berada.
Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menekankan jika pelajar terbabit tidak berminat menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran, mereka patut disingkir. Ini kerana apabila mereka berkumpul, mereka menjadi berani dan mengganggu pelajar lain. Dr Mahathir berpendapat punca meningkatnya kegiatan gangsterisme di sekolah adalah pengaruh buruk tayangan terlalu banyak filem asing yang memaparkan adegan keganasan dan seks. Sebagai langkah awal, Kementerian Pendidikan memperkenalkan laporan adab pelajar bagi memberi peluang ibu bapa menilai dan mengawasi kelakuan anak mereka.
Apa yang berlaku di MCKK—sekolah elit ditubuhkan pada 1905 yang terkenal sebagai pusat kecemerlangan dan melahirkan ramai pemimpin negara, tokoh masyarakat dan ahli korporat – amat memalukan. Dengan system jaringan dan pekerjaan hampir terjamin bagi lepasannya, pelajar sepatutnya mengekalkan tahap disiplin yang tinggi. Wajarlah kumpulan yang mengaibkan MCKK dikenakan hukuman setimpal.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Eight students transferred

Akhbar: The Star
Tarikh Siaran: 30 Ogos 2003
Hari: Sabtu
Oleh: Christina Koh


IPOH: Eight students from the prestigious Malay College Kuala Kangsar including two Fifth Formers, who allegedly threatened a warden with parangs, have been transferred to a non-residential school.
Perak Education Department director Datuk Adnan Ibrahim said the transfer had the agreement of their parents and was made because of “academic and disciplinary problems.”
He clarified that the two form five students had not assaulted the warden on Aug 18 with parangs and Rambo knives as earlier reported in Malay daily.
Adnan said that according to a letter he received from the principal Alimuddin Mohd Dom the two students armed with parangs usually used by scouts, had only challenged and threatened the warden
He said what had happened was that warden had come across the two students who were wandering near the Form Two dormitory while patrolling the compound at 2.30am.
When confronted, the students told the warden they were fetching the wallets and were ordered to return to their dormitory.
The warden then used his cane to tap their butt two or three times to get them to move on.
“When they returned to their dormitory, they took to parangs and together with some of their friend, confronted the warden and began shouting and the latter.
“Concerned for the safety of the other students, the college authorities called in the police to help control the situation and advise the students,” said Adnan.
He said the other six students who were also transferred were not involved in the incident and no police report was lodged on the matter.
Adnan said that before this, he had sent a directive to all residential schools to patrol their compounds.
He said he supported the action taken by the college to curb further incidents of indiscipline.
Commenting on the expulsion of 20 Sekolah Tuanku Abdul Rahman students, who were members of the “high council” gangster group, Adnan said they were still investigating whether there had been “outside factors” spreading violence or influencing the activities of these students. thorrinre




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

‘Budaya samseng perkara biasa’

Akhbar: Berita Harian
Tarikh Siaran: -tidak dapat dikenalpasti-
Hari: -tidak dapat dikenalpasti-

Oleh: Sariha Mohd Ali


KUANTAN: Kelakuan negatif pelajar sekolah seperti dilaporkan sejak kebelakangan ini tidak bermakna budaya semseng sudah menular di sekolah, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat.
Sebaliknya, beliau berkata, gejala berkenaan adalah perkara biasa yang menjadi sebahagian masalah remaja yang sedang membesar.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak tertentu, termasuk guru membantu membimbing pelajar supaya tidak mudah melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang.
Katanya, sekolah masih lagi menjadi tempat selamat untuk pelajar dan ibu bapa tidak perlu cemas dengan perkembangan terkini yang melaporkan banyak salah laku pelajar.
Beberapa kes membabitkan kelakuan negatif pelajar ketika di sekolah seperti yang dilaporkan media adalah kes tersing dan ia tidak melibatkan sebarang ancaman kepada pelajar lain.
“Kita tidak nafikan ke seumpama itu berlaku, tapi umumnya keadaan persekolahan di negara kita masih terkawal dan anak masih belajar selesa dan selamat di sekolah.
“Jadi, jangan rasa cemas dan kementerian sentiasa berusaha mewujudkan suasana tenang supaya pelajar dapat mengikuti pelajaran dengan baik.
“Sebenarnya, proses persekolahan memerlukan kerjasama banyak pihak, termasuk ibu bapa, masyarakat, dan media massa,” katanya selepas mesyuarat Ketua Perkhidmatan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Samsuddin Osman, di sini petang kelmarin.
Abdul Rafie berkata, semua pihak termasuk guru dan anggota masyarakatperlu mempunyai perasaan ‘sepunya’ dengan meletakkan tanggungjawab mendidik pelajar di bahu semua pihak, bukannya sekolah sahaja.
Katanya, apabila perasaan seumpama itu wujud, hubungan lebih mesra antara sekolah, masyarakat dan keluarga dapat dibentuk.
“Sebenarnya konsep pemuafakatan keluarga, masyarakat dan sekolah masih baru di Malaysia, tapi sudah masanya untuk kita memeperluaskan pelaksanaannya.
“Biasanya, kejayaan cemerlang pelajar dan sekolah dihasilkan apabila wujud kerjasama dan persefahaman baik antara guru, pelajar, dan ibu bapa,”katanya.
Mengulas kes 14 pelajar perempuan Sekolah Menengah Seri Puteri Buntong, Ipoh cedera ditampar guru selepas guru itu gagal mengenal pasti pelajar yang mengeluarkan perkataan ‘podah’ yang bermaksud ‘berambus’ pada 20 Ogos lalu, Abdul Rafie berkata:
“Saya sudah meminta kerjasama sekolah itu bagi mengatur perjumpaan dengan ibu bapa bagi membincangkan kes berkenaan.
“Kita mahu hubungan baik ibu bapa dan guru tidak terjejas akibat kes berkenaan,” katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

Banteras samseng sekolah asrama

Akhbar: UTUSAN MALAYSIA
Tarikh Siaran: 31 OGOS 2003
Hari: AHAD

Oleh: Zulkifli Jalil dan Azimi Mustapha


KEPALA BATAS 30 Ogos- Datuk Seri Abdullah Badawi hari ini mengarahkan Kementerian Pendidikan membanteras sehingga ke akar umbi kegiatan samseng, termasuk perbuatan membuli dan mendera pelajar junior di sekolah-sekolah berasrama penuh seluruh negara.
Tegas Timbalan Perdana Menteri, tidakan tegas perlu disegerakan bagi mengelakkan gejala ini menjadi barah yang mengancam institusi pendidikan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengetua bahawa menjadi satu kesalahan sekiranya mereka menyembunyikan kegiatan samseng dengan alasan untuk menjaga nama baik sekolah.
Malah, tegas beliau, pengetua perlu membuat lapran polis jika gejala itu dikesan di sekolah mereka.
“Ini bukan soal nak popular atau tidak popular, tetapi soal kewajipan. Gejala samseng tidak harus dibenarkan wujud di institusi-institusi pendidikan.
“Sebenarnya bertindak tegas dan cepat terhadap golongan samseng ini juga boleh menaikkan imej sekolah yang ertinya pengetua dan guru tidak membenarkan gejala samseng berleluasa dan berpanjangan,”katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan bola sepak 9-sebelah di Stadium Tertutup Pulau Pinang Piala Timbalan Perdana Menteri di Dewan Milenium di sini.
Beliau mengulas kegiatan samseng yang menular di sekolah-sekolah berasrama penuh di negara ini sehingga menyebabkan Jabatan Pendidikan mengambil tindakan tegas menyingkir pelajar-pelajar terbabit.
Minggu lepas, Jabatan Pendidikan Perak menyingkirkan 20 pelajar tingkatan lima kerana cuba menghidupkan semula budaya samseng yang dikenali sebagai High Council.
Budaya ini digunakan oleh pelajar senior menakut-nakutkan pelajar junior sehingga ada kalangan mereka disebabkan takut dicederakan mengambil tindakan bertukar ke sekolah lain.

Abdullah berkata, beliau menyedari ada pengetua sengaja menyembunyikan kegiatan samseng yang berlaku di sekolah kerana khuatir ibu bapa tidak mahu lagi menghantar anak mereka belajar di situ.
Namun, tegas beliau, itu bukan persoalannya kerana yang diutamakan sekarang ialah keselamatan pelajar.
“Bagi yang disingkirkan sudah tentu disebabkan pelajar ini melanggar disiplin sekolah. Ini mewajarkan mereka dibuang sekolah,”katanya.
Menurut Abdullah, beliau mengalu-alukan langkah Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa bagi memantau kegiatan samseng di sekolah berasrama penuh yang dianggap suatu tuntutan semasa.
Beliau mahu semua pihak dari kalangan guru kaunseling, guru besar, dan ibu bapa memainkan peranan bagi memastikan gejala tersebut dihapuskan.
Beliau turut menarik perhatian mengenai keperluan program kaunseling terhadap pelajar yang melakukan kesalahan tetapi tidak terlalu serius bagi mengelakkan hidup mereka menjadi tidak keruan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

“Apa salahnya junior disuruh-suruh?”

Akhbar: Mingguan Malaysia
Tarikh Siaran: 7 September 2003
Hari: Ahad
Oleh: Ramli Abdul Karim


MINGGUAN: Lima tahun sebelum keluar pada tahun 2000, bagaimana saudara menjalani kehidupan di asrama MCKK?
WAN AZMAN: OK saja. Tiada yang tidak diingini berlaku ke atas saya. Masa ula-mula masuk tingkatan satu, saya mengikuti aktiviti minggu orientasi yang dikawal sepenuhnya oleh pengawas-pengawas. Ketika itu, kami pelajar tingkatan satu dan dua tinggal berasingan dengan pelajar lain.
Bagaimana minggu orientasi berlalu?
WAN AZMAN: Setiap orang kena kenal semua rakan yang sama-sama masuk atau setingkatan. Kami disuruh rapatkan hubungan. Kami juga kena ikut jadual yang ditetapkan. Ini termasuklah kena bangun awal dan solat subuh berjemaah.
Tentang hubungan pelajar junior dengan senior, kalau berselisih mesti beri salam, kalau hendak bercakap kena tunduk dan letak tangan di belakang. Kami tiada masalah dengannya.
Kami juga dimestikan membersihkan dorm. Kalau tidak bersih, semua orang dalam dorm itu kena denda termasuk lari keliling padang. Itupun tidak mengapa, sebab ia mendisiplinkan pelajar. Kalau buat salah lain termasuk melanggar disiplin, pengawas bukan bertindak sendiri, tetapi merujuknya kepada pihak sekolah.
Pernahkah saudara sendiri kena ragging atau dipukul oleh senior?
WAN AZMAN: Dipukul tidak pernah, tetapi kerap disuruh-suruh serta melakukan banyak perkara.
Antaranya?
WAN AZMAN: Membasuh baju, kasut dan seluar senior. Atau mereka suruh hantar atau ambil barang-barang. Mereka juga suruh beli barang atau makanan di kantin guna wang mereka atau duit kita sendiri. Semua ini kerap berlaku kepada saya.
Semasa mula-mula lalui semua ini ketika tingkatan tiga, saya memang tidak selesa dan tertekan. Tetapi akhirnya saya anggap sebagai kenangan.
Kenangan? Tidakkah saudara fikir perbuatan mereka itu salah, dan patut melaporkannya kepada sekolah?
WAN AZMAN: Memanglah salah. Bukan saya tidak berani buat aduan tetapi oleh kerana saya sudah anggap ia sebagai perkara biasa yang akan dilalui oleh setiap penghuni dalam kehidupan di asrama.
Sudah tahu itu salah tetapi, tidak berbuat apa-apa, bukankah saudara sepatutnya mengabaikan arahan mereka?
WAN AZMAN: Tidak boleh. Mesti ikut apa saja mereka cakap dan suruh.
Kalau begitu saudara sendiri takut untuk menghalang perbuatan salah senior?
WAN AZMAN: (mengangguk dan termenung)Kalau kita tidak ikut arahan dan cakap senior, itu lagi bawa masalah kepada diri sendiri. Kalau lapor kepada guru, kita mungkin tidak akan dipukul tetapi akan ‘dilayan’ dengan lebih teruk lagi.
Bagaimanakah kegiatan ragging di MCKK secara keseluruhan ketika itu?
WAN AZMAN:Semasa tingkatan satu dan dua, tiada apa-apa berlaku kerana aktiviti kami dikawal oleh pengawas. Pelajar senior tidak boleh ganggu kami, lebih-lebih lagi blok bangunan kami berasingan.
Apabila sudah di tingkatan tiga, barulah kami tinggal bersama pelajar senior iaitu pelajar tingkatan empat dan lima. Ketika itu, kalau berbuat salah tiada lagi pengawas dulu mendenda kami.
Semuanya ditentukan oleh senior. Senior buat siasatan dan dan tentukan hukuman sendiri kalau pelajar junior buat salah. Antara kesalahan yang mereka hukum ialah keluar malam, mencuri, merokok, ganggu pelar perempuan dan banyak lagi.
Macam keluar malam, jika ada pelajar senior yang nampak, junior itu akan disoalsiasat apabila pulang ke asrama. Mereka perlu sebutkan nama pelajar senior yang benarkan mereka keluar malam. Untuk dapat kebenaran, ada syaratnya, kena belikan makanan, rokok dan sebagainya.
Bagi pelajar senior, tidak menjadi kesalahan jika mereka sendiri yang keluar malam tetapi kalau junior, mereka akan dihukum.
Apakah hukumannya?
WAN AZMAN: Kalau keluar malam, junior biasanya dipukul. Ada juga cara lain kalau tidak dipukul seperti dipaksa membeli dan membayar rokok mereka. Ada juga yang meminta dibelanja makan. Bukan semua senior yang memukul junior yang salah keluar malam. Itu bergantung kepada senior mana yang mendapat tahu mereka keluar atau melakukan kesalahan.
Siapakah yang selalu ragging junior?
WAN AZMAN: Hampir semua senior ragging junior termasuk suruh membasuh pakaian mereka.
Siapakah pula yang memukul orang?
WAN AZMAN: Ketika saya dulu, ada dalam kira-kira 20 orang senior yang nakal-nakal. Mereka semua ini ditakuti oleh setiap junior. Mereka selalunya beramai-rama iaitu lima hingga 10 orang atau mungkin lebih ketika memukul junior.
Mereka ini ada ketua dan struktur kumpulan seperti high council?
WAN AZMAN: Tidak. Di MCKK, tiada high council. Tetapi apa yang mereka buat terutama tindak-tanduk dan cara menghukum orang lebih kurang sama saja dengan high council. Bezanya, mana-mana 20 orang senior yang saya sebut tadi tidak boleh bertindak atau menghukum sendiri pelajar junior tanpa campur tangan senior lain.
Sedangkan high council kalau mahu menghukum seperti memukul junior mesti dengan pengetahuan ketua, jawatankuasa atau ahli-ahlinya.
Bagaimana senior MCKK pukul junior?
WAN AZMAN: Mereka tidak pukul sampai patah tangan atau kaki tapi ‘belasah’ ikut jenis kesalahan. Kalau kes mencuri, mereka akan pukul dengan teruk. Mereka pun pandai, tidak pukul sampai boleh nampak kecederaan di luar badan junior itu.
Kadang-kadang kesalahannya bukan salah dari segi peraturan sekolah seperti melintas di kaki lima di hadapan dorm senior. Ini terutama di satu sudut yang memang mereka isytiharkan sendiri sebagai tempat larangan kepada junior dikenali sebagai ‘senior com’.
Saya tidak pernah lihat dengan mata sendiri orang dipukul. Tetapi rakan-rakan atau orang yang dipukul itu sendiri yang beritahu. Mereka tidak pukul junior di tempat terbuka tetapi di luar dorm mereka atau di senior com dan selalunya waktu malam.
Apabila menjadi senior, adakah saudara juga ragging junior?
WAN AZMAN: Ya. Ketika itu saya rasa ia sekadar circle of life. Dulu saya pernah kena ragging, apa salahnya saya pula ikut. Saya juga selalu suruh-suruh junior tapi tak pernah pukul orang.
Tetapi saya diberitahu saudara pernah ditangkap kerana memukul junior?
WAN AZMAN: Betul. Tetapi saya tidak pernah pukul orang. Kami ada 10 orang yang kena panggil dan siasat. Orang yang kena pukul itu telah mengadu kepada guru disiplin. Saya tidak tahu mengapa di sebut nama saya. Semua mengaku salah kecuali saya. Sehingga akhirnya pun saya tidak mengaku walaupun cikgu memaksa dan mengugut akan dibogelkan dan lari keliling padang.
Bolehkah ragging dihentikan di MCKK dan apakah cadangan saudara?
WAN AZMAN: Sukar. Ia sudah nerlaku sejak dulu lagi. Lagipun ia budaya yang ada di setiap sekolah berasrama. Pelajar junior menunggu-nunggu saat menjadi senior kerana ketika itu ada sedikit kuasa dan penghormatan daripada junior.
Bagi saya jika ia sekadar mewujudkan penghormatan untuk senior, apa salahnya? Kadang-kadang dengan suruh-menyuruh, pelajar jadi lebih akrab.
Cuma nasihat saya kepada rakan-rakan yang sedang tinggal di asrama sekolah, sebelum ragging terutama memukul junior fikirlah dulu. Fikir tentang ibu bapa yang hantar kita ke asrama, kesakitan junior itu dan masa depan sendiri.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

18 pelajar bawa parang panjang, pisau ‘rambo’ serang tiga guru

6 pelajar disingkir

Akhbar: Utusan Malaysia
Tarikh Siaran: 29 Ogos 2003
Hari: Jumaat

Oleh: Abdul Razak Din dan Norzahizan Ismail
IPOH, 28 OGOS – Enam pelajar tingkatan lima Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) disingkir serta merta dari sekolah asrama penuh tertua itu setelah dipercayai terbabit menyerang tiga guru dengan parang panjang dan pisau ‘rambo’ pada awal Isnin lalu.
Sebanyak 12 orang pelajar lagi pelajar tingkatan lima yang dipercayai turut terlibat dalam serangan tersebut diletakkan di bawah pemerhatian serius manakala dua pelajar masih disoal siasat oleh pihak pengurusan sekolah itu.
Ketiga-tiga guru yang berusia 50-an yang juga merupakan warden asrama sekolah tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat melarikan diri apabila dikejar oleh para pelajar terbabit.
Penyingkiran pelajar sekolah asrama itu berlaku kira-kira seminggu selepas sebuah lagi sekolah berasrama penuh di negeri itu, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), mengambil tindakan drastik menyingkirkan 20 pelajar tingkatan lima kerana cuba menghidupkan semula budaya samseng yang dikenali sebagai High Council.
Dalam kejadian di MCKK yang berlaku kira-kira 2.30 pagi itu, pihak pentadbir sekolah dengan bantuan polis merampas dua bilah parang panjang, sebilah pisau Rambo, besi panjang dan beberapa batang kayu yang dipercayai digunakan untuk menyerang guru-guru berkenaan.
Ketua Polis daerah Kuala Kangsar, Superitendan Zainudin Zainal ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut tetapi memberitahu pihak sekolah sehingga kini masih belum membuat sebarang laporan polis.
“Pada hari kejadian, polis telah dipanggil oleh pihak sekolah untuk meredakan keadaan dan sehingga kini tiada laporan polis dibuat oleh sekolah tersebut,”katanya.
Sumber sekolah itu memberitahu, kejadian tersebut berpunca daripada tindakan salah seorang warden sekolah berkenaan merotan dua daripada pelajar terbabit kerana melanggar peraturan asrama.
Utusan Malaysia difahamkan, setelah dua pelajar itu dirotanm pelajar terbabit yang tidak berpuas hati telah menghasut rakan-rakan asrama untuk menyerang warden asrama.
Difahamkan, ekoran itu, sekumpulan pelajar telah mencabar tiga warden terbabit, sebelum mengejar mereka.
Bagaimanapun, salah seorang daripada warden tersebut bertindak pantas dengan menghubungi pengawal keselamatan yang kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis.
“Pihak sekolah telah mengenal pasti pelajar-pelajar terbabit dan polis juga telah membantu memeriksa pelajar-pelajar berkenaan pada keesokannya.
“Senjata-senjata itu ditemui disembunyikan di dalam almari baju dan kami percaya senjata berkenaan telah dibeli di luar sekolah,” kata sumber itu.
Difahamkan, sebahagian besar pelajar terbabit berasal dari Pantai Timur dan hanya seorang berasal dari Kuala Kangsar.
Bagaimanapun, Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Adnan Ibrahim dan Pengetua MCKK , Alimuddin Md Dom tidak dapat dihubungi untuk mengulas kejadian tersebut.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan , Tan Sri Musa Mohammad pernah mengesahkan bahawa kegiatan samseng di MCKK sudah lama wujud tetapi tidak mempunyai data dan bukti yang kukuh.
Beliau menarik perhatian bahawa dalam kejadian samseng di MCKK pada tahun 1992, seramai 17 pelajarnya telah dibuang.
Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan, Datuk Khusaini Hasbullah menyifatkan apa yang berlaku di MCKK pada Isnin lalu itu sebagai kejadian serius dan melampaui batas.
“Ini menunjukkan pelajar tidak boleh mengawal diri dan lupa bahawa mereka adalah pelajar, sementara warden adalah guru dan wakil ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata, walaupun guru-guru berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kes itu tidak boleh dipandang ringan.
Ketika ditanya punca kejadian, beliau berkata, pihaknya telah menerima laporan secara terperinci dan telah menyerahkan kepada pengetua untuk mengambil tindakan.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

corporate song

Tinggalkan ibu tinggalkan ayah
Dan juga sanak saudara
Kerana kolej kami turutkan
Tanpa ragu dan bimbang
Dari utara hingga ke selatan
Dari seluruh kawasan
Kami berhimpun dalam satu badan
Dengan satu tujuan
Belajar dan segala
Semuanya harus kami rasa
Tiada kami pinta
Namun kami terima
Ayuh semua kita sepakat/bersatu
Cekal hati sejiwa
Bersama kita hadapi rintangan
Demi masa hadapan
Melayu…
Melayu…
Kami Kolej Melayu

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS