Banteras samseng sekolah asrama
Akhbar: UTUSAN MALAYSIA
Tarikh Siaran: 31 OGOS 2003
Hari: AHAD
Oleh: Zulkifli Jalil dan Azimi Mustapha
KEPALA BATAS 30 Ogos- Datuk Seri Abdullah Badawi hari ini mengarahkan Kementerian Pendidikan membanteras sehingga ke akar umbi kegiatan samseng, termasuk perbuatan membuli dan mendera pelajar junior di sekolah-sekolah berasrama penuh seluruh negara.
Tegas Timbalan Perdana Menteri, tidakan tegas perlu disegerakan bagi mengelakkan gejala ini menjadi barah yang mengancam institusi pendidikan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengetua bahawa menjadi satu kesalahan sekiranya mereka menyembunyikan kegiatan samseng dengan alasan untuk menjaga nama baik sekolah.
Malah, tegas beliau, pengetua perlu membuat lapran polis jika gejala itu dikesan di sekolah mereka.
“Ini bukan soal nak popular atau tidak popular, tetapi soal kewajipan. Gejala samseng tidak harus dibenarkan wujud di institusi-institusi pendidikan.
“Sebenarnya bertindak tegas dan cepat terhadap golongan samseng ini juga boleh menaikkan imej sekolah yang ertinya pengetua dan guru tidak membenarkan gejala samseng berleluasa dan berpanjangan,”katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan bola sepak 9-sebelah di Stadium Tertutup Pulau Pinang Piala Timbalan Perdana Menteri di Dewan Milenium di sini.
Beliau mengulas kegiatan samseng yang menular di sekolah-sekolah berasrama penuh di negara ini sehingga menyebabkan Jabatan Pendidikan mengambil tindakan tegas menyingkir pelajar-pelajar terbabit.
Minggu lepas, Jabatan Pendidikan Perak menyingkirkan 20 pelajar tingkatan lima kerana cuba menghidupkan semula budaya samseng yang dikenali sebagai High Council.
Budaya ini digunakan oleh pelajar senior menakut-nakutkan pelajar junior sehingga ada kalangan mereka disebabkan takut dicederakan mengambil tindakan bertukar ke sekolah lain.
Abdullah berkata, beliau menyedari ada pengetua sengaja menyembunyikan kegiatan samseng yang berlaku di sekolah kerana khuatir ibu bapa tidak mahu lagi menghantar anak mereka belajar di situ.
Namun, tegas beliau, itu bukan persoalannya kerana yang diutamakan sekarang ialah keselamatan pelajar.
“Bagi yang disingkirkan sudah tentu disebabkan pelajar ini melanggar disiplin sekolah. Ini mewajarkan mereka dibuang sekolah,”katanya.
Menurut Abdullah, beliau mengalu-alukan langkah Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa bagi memantau kegiatan samseng di sekolah berasrama penuh yang dianggap suatu tuntutan semasa.
Beliau mahu semua pihak dari kalangan guru kaunseling, guru besar, dan ibu bapa memainkan peranan bagi memastikan gejala tersebut dihapuskan.
Beliau turut menarik perhatian mengenai keperluan program kaunseling terhadap pelajar yang melakukan kesalahan tetapi tidak terlalu serius bagi mengelakkan hidup mereka menjadi tidak keruan.








0 Response to " Banteras samseng sekolah asrama"
Post a Comment