‘Setahun yang memuaskan’
Oleh Hishamuddin Aun 
PUTRAJAYA: “Ia adalah setahun yang memuaskan,” kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai menyimpulkan genap setahun kepemimpinannya sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelima pada 31 Oktober tahun lalu.
“Saya beranggapan secara amnya rakyat menyatakan sokongan kepada saya manakala pengkritik juga rata-rata berlaku adil.
“Malah, maklum balas dari luar negara, sama ada daripada pelabur atau media massa, juga amat baik. Hubungan kita dengan negara luar amat baik dan mesra,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) di kediaman rasminya di sini.
Sambil menganggap 12 bulan pertamanya selaku Perdana Menteri sebagai tempoh paling sibuk hingga mengorbankan banyak waktu tidur dengan kesempatan amat terbatas bagi rakan-rakan mahupun keluarga, Abdullah berkata ia jauh daripada menyerupai tempoh ‘berbulan madu’.Tahun berikut ini pula dilihat Abdullah sebagai masa untuk memastikan semua perancangan yang sudah terlakar, perlu diterjemah menjadi kenyataan kerana rakyat mahu melihat pelaksanaan dan hasilnya.“Dalam tahun pertama, penekanannya ialah memastikan rakyat faham dengan apa yang ingin saya lakukan. Saya sudah nyatakan mengenai perlunya kita mempunyai barangan dan perkhidmatan bermutu, keperluan mempunyai prestasi tinggi.“Saya tekankan juga mengenai kepentingan menguruskan ekonomi dan kepentingan nilai tambah. Saya bercakap mengenai integriti, membasmi rasuah dan sistem penyampaian awam yang berkesan.“Saya membicarakan soal pendidikan dan perlunya menanam keyakinan terhadap golongan muda kerana mereka adalah masa depan kita. Saya juga memperkatakan soal menjadikan pertanian sebagai sumber pertumbuhan ekonomi dan pendapatan tambahan,” katanya.Seperti yang pernah dihujahkan dalam temu bual sempena 100 hari pentadbirannya, Perdana Menteri mengulangi bahawa beliau berasakan tidak cukup jumlah jam dalam sehari untuk melaksanakan segala apa yang ingin dilakukannya.“Rasanya kerja saya lebih banyak sebagai Perdana Menteri berbanding sebelum ini (ketawa)... Ingatkan inilah masanya saya boleh meminta orang lain bekerja dan saya cuma menyelia dari jauh tetapi nampaknya tidak begitu. Kita mesti mengamalkan kepemimpinan melalui teladan jika mahu segala-galanya berjalan lancar,” katanya.Abdullah turut ditanya mengenai saat paling menggembirakannya dalam tempoh setahun memimpin kerajaan dan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum, 21 Mac lalu, adalah yang teratas dalam senarainya.Di bawah kepemimpinannya, BN mencatat prestasi terbaik dalam pilihan raya umum sejak negara merdeka dengan memenangi lebih 90 peratus kerusi dipertandingkan dan dalam proses itu memberi kekalahan terbesar kepada Pas dan Keadilan.“Kita mengharungi pilihan raya umum dengan jaya manakala pemilihan dalam Umno juga sudah selesai. Malaysia kekal stabil dan aman. Secara keseluruhannya, saya berasakan ia adalah tahun yang memuaskan,” katanya.Di antara tahun berdukacita – ibu Perdana Menteri, Datuk Khailan Hassan, meninggal dunia 2 Februari lalu – ia juga tahun kemenangan. Dan di sebalik ia tahun kejayaan, jangka masa itu juga masih sarat dengan matlamat yang belum tercapai.Perdana Menteri lebih daripada bersedia untuk mengakui bahawa tidak semuanya berjalan seperti diharapkan, dengan ada perkara tertentu yang tidak dilakukan secepat yang dikehendakinya.Antara lain, Abdullah masih tidak berpuas hati dengan sistem penyampaian awam, begitu juga kemajuan dalam langkah memerangi rasuah, selain rungutan yang masih kedengaran terhadap perkhidmatan awam.“Ada ketikanya saya sendiri merungut tetapi sesetengah (perkara) mengambil masa. Saya tahu ramai yang kurang sabar dengan jawapan seperti itu tetapi seperti yang saya katakan, prosesnya berterusan.“Saya juga akui harapan rakyat turut meningkat kerana saya sering bercakap mengenai perlunya sistem penyampaian yang lebih baik. Perkhidmatan awam kita amnya adalah baik dan berkesan.“Kita tidak mungkin mencapai apa yang sudah kita peroleh jika perkhidmatan awam kita lembap dan kurang berkesan seperti digambarkan sesetengah pihak.“Dalam banyak kes, ada segelintir kakitangan yang menjejaskan imej keseluruhan perkhidmatan tetapi kita akan terus berusaha memperbaikinya. Saya boleh berikan jaminan bahawa hasilnya akan dapat dilihat,” katanya.Abdullah berkata beliau juga belum berpuas hati dengan langkah memerangi rasuah walaupun mengakui Badan Pencegah Rasuah (BPR) bekerja keras untuk membanteras amalan keji itu.“Memang saya tidak berpuas hati tetapi tahun ini, BPR membuka lebih banyak siasatan, menerima lebih banyak laporan dan membuat lebih pendakwaan berbanding tahun lalu.“Mereka memang bekerja keras tetapi kita tidak boleh berharap untuk tergesa-gesa jika keadilan mahu ditegakkan, (apatah lagi) sesetengah kes besar memerlukan masa yang panjang. Sebelum seseorang boleh didakwa, bukti kukuh diperlukan.“Seseorang tidak boleh didakwa hanya berdasarkan cakap-cakap atau bukti samar. Anda perlu berasa pasti sebelum boleh meneruskan pendakwaan tetapi natijahnya ialah kita tidak harus berhenti daripada memerangi rasuah,” katanya.Dalam pada itu, tahun pertama kepemimpinan Perdana Menteri tidak juga ketandusan kejayaan, dengan perkara paling sukar ialah mengurus defisit dan pada masa yang sama memastikan ekonomi terus berkembang.“Saya menyerahkannya kepada rakyat untuk menilainya tetapi saya rasa pertumbuhan ekonomi pada kadar 7.8 peratus bagi separuh pertama tahun ini selain pengangguran dan inflasi kekal pada paras rendah, adalah petanda baik.“Ia juga bukan hanya berkisar kepada pertumbuhan. Antara lain, kita sudah memulakan banyak langkah, contohnya menubuhkan sebuah suruhanjaya diraja polis, menggubal Pelan Integriti Kebangsaan dan mewujudkan Institut Integriti Malaysia. Saya juga sudah merestui penubuhan Akademi BPR.“Kita sudah mengorak langkah untuk memperbaiki perkhidmatan kaunter, umpamanya di Jabatan Imigresen. Kita juga sudah memulakan pembaharuan dalam pendidikan. Di samping itu juga, kita menghantar pasukan khas untuk meningkatkan pentadbiran pejabat tanah,” katanya.Hasil perubahan yang diperkenalkan itu, tunggakan pendaftaran dapat dikurangkan sebanyak 86 peratus atau 300,000 kes manakala 17 peratus lagi kes tertunggak yang lain dapat diselesaikan.“Dalam pada itu, masih banyak yang perlu dilakukan dan kita berharap untuk melihat lebih banyak kemajuan dalam tahun berikut ini,” katanya.
berita harian, 31 oktober 2004








0 Response to "‘Setahun yang memuaskan’ "
Post a Comment